Idea Bisnes Online

"Bersama Kita Berkongsi Idea Bisnes Untuk Berjaya"

Thursday, May 18, 2006

3 Sebab UTAMA Kegagalan Perniagaan Internet




Tujuh tahun lalu ketika saya mula mengambil perhatian kepada perniagaan di Internet, kejayaan dan kegagalan sesuatu perniagaan Internet sering menarik perhatian saya. Berbagai-bagai syarikat memulakan perniagaan di Internet, namun sebilangan mencapai keuntungan yang cemerlang, manakala selebihnya tidak berjaya.

Berjuta-juta wang juga telah dilaburkan pada perniagaan Internet. Ada yang meningkat maju seperti Amazon.com dan Dell.com yang berjaya mengaut keuntungan yang lumayan dan menjadikan pengasasnya bilionair. Ada juga yang rebah seperti Boo.com dan Go.com di mana berjuta-juta wang pelaburan lesap entah ke mana. Dilaporkan bahawa lebih dari 90% perniagaan di Internet mengalami kegagalan pada tahun pertama perniagaan dijalankan.

Sebahagian Silicon Valley yang gah dengan pelaburan berbillion juga turut mengalami kerugian dengan janji perniagaan Internet yang menemui kegagalan.

Sekiranya anda ingin memulakan perniagaan di Internet, berikut adalah beberapa sebab terjadinya kegagalan perniagaan di Internet.

1: Tiada Perancangan
Pepatah orang-orang tua "Jangan berlari sebelum anda pandai berjalan". Seperti perniagaan yang lain, perniagaan di Internet memerlukan perancangan yang rapi.

Jangan gelojoh ketika memulakan perniagaan di Internet, lakukannya langkah demi langkah. Anda perlu ketahui bahawa terdapat banyak masa dan ruang untuk berkembang pada masa yang akan datang.

Anda juga boleh membuat jadual perancangan untuk merekodkan perkembangan perniagaan Internet anda. Contohnya, membuat perancangan mingguan. Dalam masa seminggu, apa yang anda ingin lakukan untuk perniagaan anda? Mungkin menambahkan lagi maklumat produk anda, ataupun menambahkan lagi informasi berguna untuk pelawat laman web anda.

Perancangan amat penting untuk memastikan segala tugasan berjalan dengan lancar dan teratur. Dengan membuat kerja sedikit demi sedikit untuk memperbaiki laman web anda, lama kelamaan anda pasti akan menyediakan laman web yang hebat.

Sebagai contoh, jika anda ingin membina laman web mengandungi tips-tips dan cara menjalankan perniagaan, anda boleh mengambil masa dua jam sehari untuk menulis satu tips dan mengembangkannya kepada satu muka surat.

Jika diikuti perancangan anda, setiap hari satu muka surat, dalam masa 3 bulan, laman web anda sudah mencapai 100 muka surat! Satu laman web yang penuh dengan informasi yang menarik untuk sesiapa sahaja yang ingin menjalankan perniagaan.

2: Laman web perniagaan pasif
Laman web yang tidak dijaga dan diurus, serta tidak dipromosikan akan menjadi sia-sia sahaja. Mempromosikan laman web anda adalah langkah yang paling penting dalam menentukan kejayaan sesuatu perniagaan.Anda perlu tahu bahawa terdapat berjuta-juta laman web perniagaan di Internet. Sistem promosi yang berkesan diperlukan untuk membolehkan laman web anda dijumpai oleh bakal pelanggan anda.

Masa, tenaga dan juga wang perlu dilaburkan untuk mempromosi laman web anda. Anggap laman web anda seperti anda mempunyai kedai tradisional. Sudah pasti anda akan mempromosikan kedai anda dengan bermacam-macam cara untuk menarik pembeli- seperti membuat risalah, mengadakan diskaun, mempamerkan poster dan sebagainya.

Malangnya, ramai yang berpendapat bahawa setelah laman web perniagaan siap dibina, kerja mendirikan perniagaan di Internet berakhir.

Mendirikan perniagaan di Internet adalah langkah pertama tetapi bukan langkah terakhir. Promosi laman web anda adalah kerja yang memerlukan usaha yang berterusan.

Promosi laman web merupakan aktiviti yang paling penting dalam perniagaan Internet. Boleh diibaratkan mendirikan laman web adalah hanya 10% dari menjalankan perniagaan di Internet. 90% usaha anda adalah dalam mempromosikannya.

3: Produk dan perkhidmatan yang salah
Pemilihan produk atau perkhidmatan perlu dilakukan sebelum dipasarkan di Internet. Hakikatnya, tidak semua produk atau perkhidmatan boleh dipasarkan dengan berjaya melalui Internet. Walaupun kebanyakan barangan yang tahan lama boleh diniagakan di Internet, mungkin barangan yang tidak tahan lama sukar dipasarkan.

Juga perlu diambil kira kos penghantaran seperti barangan yang terlalu berat dan besar mungkin sukar untuk dijual melalui Internet terutama ke negara luar oleh kerana kos penghantaran yang tinggi.

Dengan memberi tumpuan kepada antara sebab-sebab utama kegagalan sesuatu perniagaan di Internet, ia dapat membantu anda dalam memulakan perniagaan di Internet di landasan yang betul.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home